Monday, August 29, 2011

Syawal

Alhamdulillah setelah sebulan berhadapan dengan pelbagai dugaan di bulan Ramadhan, kita akhirnya sampai ke penghujung. Tibalah bulan Syawal yang lazimnya kita sambut dengan meriah, menjadi simbolik meraikan kejayaan kita yang selesai menunaikan ibadah puasa.

Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang kita nanti-nantikan setiap tahun. Bagi yang beragama Islam, ia adalah satu nikmat atas segala penat lelah menahan nafsu makan dan minum selama sebulan. Tanpa mengira usia, tua ataupun muda semuanya sama-sama bergembira menyambut kedatangan Syawal dengan meriah.

Dalam kita menyambut Syawal yang kian menjelang, adalah wajar untuk kita sentiasa meletakkan keselamatan dan nilai berhemah dalam berbelanja sebagai keutamaan kita. Berhati-hatilah dalam menyambut lebaran dan rancanglah perbelanjaan dengan bijak

Dengan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin.

Mohd Muzamel Zainal,
Pengerusi,
Kelab UMNO Saint Petersburg, Russia sesi 11/13

Monday, August 8, 2011

Ramadhan



Bismillahirrahmanirrahim

          Assalamualaikum dan Alhamdulillah syukur dipanjatkan kepada yang Maha Esa atas segala nikmat yang diberikan sehingga kita bertemu kembali dengan Ramadhan yang penuh keberkatan.

          Bulan Ramadhan adalah bulan dimana nafas kita menjadi tasbih, tidur kita menjadi Ibadah, amal kita diterima dan doa kita diijabah. Setiap tahun di bulan ini, kita diajar dengan penuh erti kesabaran. Sabar menjalani ibadah puasa yang benar-benar menguji kesabaran mental dan fizikal kita. Menahan lapar dan dahaga, bukanlah satu alasan untuk kita tidak menjadi produktif dalam segala bidang yang kita ceburi.

          Dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan kali ini, perlu di ingatkan supaya kita perlu lebih memerhati hal-hal yang berlaku yang saban harinya terpapar di kaca tv dan muka akhbar. Dalam kita bergembira dengan Ramadhan, menghitung hari menanti detik-detik munculnya Syawal, ada juga antara kita yang berduka dengan kehilangan ahli keluarga dan harta benda.

           Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah atas kemalangan yang berlaku di Cameron Highlands. Semoga insiden ini menjadi titik tolak untuk kita semua lebih berhati-hati dalam apa jua situasi, walau dimana kita berada.

          Akhir kata, saya mewakili Kelab UMNO Saint Petersburg, Russia mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Sekian, wassalam.

Mohd Muzamel Zainal,
Pengerusi,
Kelab UMNO Saint Petersburg, Russia sesi 11/13