Monday, November 7, 2011

Sambutan Hari Raya Aidiladha 1432H

 Assalammualaikum..

  Tanggal 6 November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432H, umat Islam di seluruh antero dunia telah menyambut satu perayaan yang amat besar iaitu Hari Raya Aidiladha. Oleh yang demikian, para pelajar di Saint petersburg, Rusia turut tidak ketinggalan dalam menyambut salah satu perayaan terbesar umat Islam ini.

   Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu perayaan terbesar di dalam kalendar Islam selain Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Hari Raya Aidiladha ataupun Raya Korban merupakan perayaan yang istimewa sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dalam menuruti perintah Allah S.W.T supaya baginda mengorbankan anak baginda sendiri iaitu Nabi Ismail A.S. Namun dengan kekuasaan Allah S.W.T., ketika Nabi Ibrahim mahu menyembelih Nabi Ismail, Allah telah menggantikannya dengan Kibas. Semenjak dari peristiwa itu, umat Islam di seluruh pelusuk dunia akan menyambut Hari Raya Korban sempena dengan pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S dalam menuruti perintah Allah.

  Berbalik pada sambutan Raya Korban pelajar St. Petersburg. Upacara dimulakan dengan kehadiran para pelajar pada pukul 7 malam waktu tempatan dan pada pukul 7.30 malam takbir dimulakan sehingga ke 8 malam. Namun upacara kali ini diambil alih oleh klub Malaysian Engineering Students of Saint Petersburg (MESSP). www.messp.org yang dipengerusikan oleh saudara Syed Ahmad Fathi. Selain itu, majlis ini turut disertai oleh seorang pelajar perubatan dari Malaysia, saudara Iskandar Zainul Abidin, dan seorang lagi pelajar perubatan berwarganegara Thailand dan beragama Islam, saudara Abdulfatah Hamat.

  Selesai bertakbir, sedikit tazkirah telah disampaikan oleh saudara Ammar Al-Faiz berkenaan sejarah Hari Raya Korban.  Setelah itu, bermulalah majlis jamuan Hari Raya Aidiladha. Majlis berakhir dengan jayanya sekitar jam 9.30 malam. 

Seperti kebiasannya, gambar-gambar majlis tersebut turut disertakan bersama entry ini.







Rakaman takbir aidiladha 1432H, St. Petersburg, Rusia

                                 
  Walaupun sambutan ini dikatakan berjaya, masih tidak dapat menandingi sambutan seperti di Malaysia bak, kata pepatah "Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri". Namun, ini juga boleh dikatakan sebagai pengorbanan. Oleh itu, marilah kita memanfaatkan pengorbanan ini dengan hati yang ikhlas.

Sekian, terima kasih dan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha!

Syazwan Bin Shahruddin,
Timbalan Pengerusi KUSP,
Rusia