Tuesday, June 10, 2014

Lawatan Pengerusi MARA ke Saint Petersburg

Assalamualaikum.

Pada 3 Jun 2014 yang lalu,delegasi MARA daripada Malaysia yang diketuai oleh Pengerusi MARA sendiri iaitu Tan Sri Annuar Musa telah mengadakan lawatan rasmi ke Saint Petersburg. Tujuan lawatan ini adalah untuk membuat penilaian serta penambahbaikan dalam kerjasama antara pihak MARA dan pihak Saint Petersburg State Marine Technical University (SMTU). Delegasi ini turut disertai beberapa orang pegawai dari MARA seperti Encik Bassit, Encik Wahab, Encik Shaiful, Encik Shah dan Cik Puteri Nur Syaza. Untuk makluman,kesemua pelajar Malaysia di SMTU yang juga ahli Kelab UMNO Saint Petersburg,adalah di bawah tajaan MARA.



Sesi rasmi delegasi MARA dengan pihak SMTU telah diatur dan diadakan pada 4 Jun 2014. Pelbagai isu telah dibincang dan dipersetujui antara pihak MARA dan pihak SMTU yang diketuai oleh Rektor SMTU sendiri,Avgeny Appolonov. Selain itu, sesi soal jawab antara MARA dan para pelajar Malaysia di Saint Petersburg turut diadakan. Sesi soal jawab ini telah memberi gambaran yang jelas kepada pihak MARA tentang bagaimana cabaran pembelajaran di Russia.










Para pelajar di Saint Petersburg amat berbesar hati menerima kunjungan delegasi MARA dan pertemuan tersebut diakhiri dengan sesi fotografi bersama pelajar. Semoga Allah merahmati dan memberkati segala usaha yang dicurahkan dalam melaksanakan program ini. Wallahua'lam.

Anak enggang di kayu tinggi 
Patah ranting terbanglah ia
Anak dagang tak lama di sini 
Sampai musim pulanglah ia



                           "Komuniti kami kecil,ukhwah kami besar."


Disediakan oleh,
Muhammad Naufal Bin Azhar
Naib Pengerusi
Kelab UMNO Saint Petersburg sesi 2013/14.

Wednesday, October 30, 2013

Fund Raising KUSP For Aqsa Syarif

Assalamualaikum.

Pada 26 Oktober 2013 yang lalu, kelab Umno Saint Petersburg (KUSP) telah menganjurkan jualan amal "Fund Raising KUSP For Aqsa Syarif" yang berlangsung di Prospekt Stachek 111 Korpus 1. Jualan amal ini diadakan bertujuan untuk mengukuhkan sumber bantuan kewangan dan kemanusiaan Aqsa Syarif bagi mencapai hasrat AQSA untuk mengembalikan hak rakyat Palestin dan Ummah. 

Ditubuhkan dan diluluskan pendaftarannya di Malaysia pada 4 Februari 2010 sebagai suatu organisasi yang berprofil sukarela di atas dasar kemanusiaan. Aqsa Syarif (singkatan: AQSA) memberi maksud “Masjid Yang Dimuliakan”. Aqsa Syarif mempunyai empat misi iaitu penyebaran maklumat, bantuan kemanusiaan, bantuan kewangan dan kerjasama. Aqsa Syarif berganding bahu menyumbang tenaga dan fikiran untuk kebaikan Palestin dan dunia secara amnya. 




Bagi menjadikan jualan amal ini lebih menarik,KUSP telah menggunakan konsep "siapa cepat,dia dapat". KUSP telah menyediakan 40 hidangan istimewa nasi serta lauk ayam kicap pedas dan timun pada harga berpatutan 100 ruble.Di samping itu juga,untuk menghangatkan lagi jualan amal ini,minuman air barli yang menyegarkan serta berkhasiat diberikan secara percuma kepada pembeli. 




Jualan amal ini mendapat sambutan hangat yang luar biasa apabila kesemua 40 hidangan telah terjual dalam masa kurang daripada 10 minit. Yang menariknya, ada pelanggan-pelanggan yang tetap menderma walaupun tidak sempat membeli hidangan tersebut."Derma tetap derma,mungkin tiada rezeki nasi ayam kicap pedas hari ini." kata Luqman (bukan nama sebenar).

Jualan amal ini telah mendapat keuntungan bersih (dicampur bersama derma-derma ikhlas) sebanyak 9950 ruble+RM51 (ditukar semua kepada nilai matawang ringgit adalah sebanyak RM1001). Sebanyak 9650 ruble+RM51 berbentuk wang kertas telah diserahkan kepada Aqsa Syarif melalui sistem "online transaction". Manakala baki 350 ruble (RM35) berupa wang syiling pula telah diderma kepada Masjid Besar Saint Petersburg.

Diharapkan jualan amal seperti ini akan terus mendapat sambutan apabila diadakan pada masa akan datang. Semoga Allah merahmati dan memberkati semua pihak yang telah terlibat dalam jualan amal ini. Semoga dengan usaha ini,dapat diringankan beban penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Palestin. Wallahua'lam.

Cantik bergugus buah papaya,
Masak dipetik satu persatu,
Walaupun berlainan bangsa negara,
Kerana muhibah kita bersatu.


"We care,please stay strong!"


Disediakan oleh,
Muhammad Naufal Bin Azhar
Naib Pengerusi
Kelab UMNO Saint Petersburg sesi 2013/14.


Wednesday, October 16, 2013

Global Leadership Outreach Saint Petersburg 2013

Assalamualaikum.

Pada 11-13 Oktober yang lalu telah diadakan program Global Leadership Outreach (GLO) di Royal Radisson Hotel,Saint Petersburg,Russia. Program selama 3 hari 2 malam yang dianjurkan dengan kerjasama daripada pihak kedutaan besar Malaysia di Russia,pejabat MARA Russia,Center for Leadership Training (AKEPT),Talent Corporation Malaysian Berhad (TalentCorp),dan Malaysian Engineering Student of Saint Petersburg (MESSP) ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan memenuhi potensi pemimpin-pemimpin muda yang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara. 



Antara ahli panel jemputan untuk program ini ialah YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah binti Mahmood yang juga merupakan pengasas Malaysian Medical Relief Society (MERCY) serta merupakan CEO Transform Advisory Sdn. Bhd. dan juga Senior KRIS Fellow Khazanah Nasional Bhd, YBhg. Dr. Zainal Abidin bin Sanusi yang jugaTimbalan Pengarah AKEPT, Puan Sherene Azura binti Azli merangkap Pengurus Besar TalentCorp, YBhg. Prof. Madya Abdul Razak bin Ahmad yang juga penasihat department of higher education,dan YBrs. Dr. Siti Aishah binti Jamaludin yang juga senior eksekutif TalentCorp. Seramai 50 orang pelajar Malaysia yang cemerlang dan berpotensi telah terpilih untuk menyertai program ini,di mana 47 daripadanya terdiri daripada pelajar-pelajar jurusan kejuruteraan maritim di Saint Petersburg State Marine Technical University (SMTU) dan 3 org pelajar jurusan perubatan dari Nizhni Novgorad.


Slot pertama pada 11 Oktober ialah slot yang bertajuk "Serving the Nation-Experience Sharing" oleh Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.Beliau yang lebih mesra dipanggil Dr.Jemilah, telah memberi perkongsian tentang realiti masyarakat di seluruh dunia dan pentingnya pengorbanan dan keikhlasan apabila berkhidmat untuk negara. "Be the change you want to see", kata-kata hikmah oleh Dr.Jemilah yang memberi inspirasi dan semangat kepada peserta-peserta untuk mengubah pemikiran dan mengasah bakat masing-masing kepada tahap yang sepenuhnya.Kebanyakan peserta terharu apabila mendengar dan menghayati kisah-kisah dan pengalaman yang dikongsikan oleh Dr.Jemilah.

Slot kedua pada pagi 12 Oktober bertajuk "State of the Future-Managing Global Trends,Conflicts and Challenge" pula disampaikan oleh Prof.Madya Abdul Razak Ahmad. Beliau memberi penerangan tentang pentingnya untuk berfikiran global dan mencuba idea-idea baru. Walaubagaimanapun,beliau juga menasihati peserta-peserta supaya berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif ketika di luar negara. "The best investment to be made by you right now is to travel and gain knowledge and experiences from it." jawab beliau apabila diajukan soalan tentang pelaburan terbaik yang boleh dibuat ketika di luar negara.



Slot ketiga yang bertajuk "Malaysian Transformation Agenda-The Critical Roles of University's Student as Young Leaders" disampaikan oleh Dr. Zainal Abidin Sanusi. Beliau memberi penerangan tentang sistem dan plan transformasi kerajaan (GDP) dan plan transformasi ekonomi (ETP) untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang struktur-struktur ekonomi negara. Beliau juga menggalakkan peserta-peserta untuk berani menampilkan diri seterusnya memenuhi potensi diri sebagai bakal pemimpin-pemimpin di masa hadapan. "Immerse,articulate,exchange" antara nasihat bernas beliau kepada peserta-peserta.



Slot seterusnya disampaikan oleh Puan Sherene Azura binti Azli yang bertajuk "Contributing Towards Nation Building-Matching Industrial/Business Expectations and Graduates Competencies". Beliau memberi penerangan penting tentang struktur peluang pekerjaan di Malaysia dan peranan penting TalentCorp dalam membantu lepasan-lepasan universiti untuk bekerja dan menyumbang kepada negara. "Effectiveness is often referred to as doing the right thing, while efficiency is doing things right" antara kata-kata beliau yang membuka pemikiran peserta-peserta untuk sentiasa menjaga integriti dan etika diri masing-masing.





Sesi pembentangan ‘Policy Proposal’ merupakan sesi kemuncak program tersebut. Para peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap kumpulan harus membentangkan usul masing-masing yang mana setiap kumpulan mewakili kementerian/organisasi di Malaysia seperti EPU,MARA, MOSTI,SUHAKAM dan MOHE. Polisi baru yang diusulkan perlulah sesuatu yang segar dan memberi impak transformasi kepada negara. Antara kumpulan yang menyerlah adalah kumpulan Green i-tech yang mewakili MOSTI,di mana polisi dan idea yang cuba diketengahkan dipuji oleh semua ahli panel. Idea untuk menukar sistem "Research And Development" (R&D) kepada "Research,Development and Commercial" (RD&C) mempersonakan semua peserta dan ahli panel. "Kami dah buat yang terbaik,apa lagi mereka mahu?" kata ketua kumpulan Green i-tech yang hanya mahu dikenali sebagai Coach. Pembentangan polisi pada 13 Oktober diakhiri dengan kumpulan Fetih yang mewakili EPU membuat penilaian tentang semua polisi kumpulan-kumpulan lain. Walaupun ada polisi yang ditolak,namun peserta tidak cepat melenting dan bersikap professional dalam menerima keputusan. "Kita masih dalam proses belajar,tentulah kita masih buat silap dalam pembentangan polisi." kata peserta terbaik program kali ini yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimi. 










Sebelum program berakhir,satu sesi tidak formal bersama Tan Sri Dr. Jemilah dan Puan Sherene Azura yang memberi slot tambahan kepada peserta pada hari terakhir tentang cara-cara betul untuk pembentangkan usul,"do's and don't" dalam pembentangan telah diadakan.Mereka menasihati para peserta supaya mengukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam aktiviti harian supaya para peserta tidak kekok ketika bertutur dalam bahasa Inggeris.



Program ditutup dengan sesi bergambar antara peserta dan ahli-ahli panel. Ribuan terima kasih kepada pihak MARA, AKEPT, TalentCorp,MOHE,dan MESSP kerana menganjurkan program seperti ini.Diharapkan program seperti ini akan terus diadakan lagi di masa hadapan. Semoga Allah memberkati dan membalas semua usaha-usaha pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Wallahua'lam.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat tinggal kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.

"Be the change you want to see."


Disediakan oleh,
Muhammad Naufal Bin Azhar
Naib Pengerusi
Kelab UMNO Saint Petersburg sesi 2013/14.

Saturday, June 8, 2013

Perlantikan AJK baru KUSP bagi sesi 2013/2014

Assalamualaikum.

Pada 2 Jun 2013 yang lalu telah diadakan malam apresiasi bagi meraikan senior-senior tahun akhir Saint Petersburg State Marine Technical University (SMTU) yang akan menamatkan pengajian pada bulan Julai. Pada kesempatan itu juga,majlis pembubaran dan perlantikan jawatankuasa  Kelab Umno Saint Petersburg (KUSP) dan persatuan Malaysian Engineering Students of Saint Petersburg (MESSP) juga turut diadakan.


Pengerusi KUSP sesi 2011/2013,Mohd Muzammel Zainal telah mengumumkan perletakkan jawatannya serta mengumumkan pembubaran AJK KUSP sesi 2011/13. Beliau memohon maaf atas segala kekurangan AJK KUSP 2011/2013 dan mengingatkan semua agar terus memberi sokongan kepada KUSP. Sementara itu Pengerusi KUSP baru yang dilantik,saudara Nasrul Azhim bin Norul Huda memulakan penggalnya dengan menerima tepukan gemuruh apabila beliau diumumkan sebagai Pengerusi KUSP yang baru.
Berbekalkan "track record" beliau yang boleh dikatakan segar,Nasrul Azhim telah berjanji untuk memacu KUSP ke arah yang lebih progresif dan innovatif. Sementara itu,jawatan Timbalan Pengerusi KUSP telah dimenangi oleh saudara Shafik Azhar manakala Naib Pengerusi baru KUSP yang dilantik adalah saudara Naufal Azhar. Walaupun nama kedua-dua mereka hampir sama (nama bapa mereka ialah Azhar) namun,kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang pertalian darah. 


Sementara itu,saudari Nadierah Mokhtar yang berpengalaman menjadi wakil lokaliti persatuan AZAM Russia Saint Petersburg pada malam apresiasi kali ini telah dipilih untuk menyandang jawatan Setiausaha KUSP. Jawatan Bendahari KUSP pula disandang oleh saudari Siti Aisyah Ismail yang juga disebut-sebut sebagai calon pelajar Malaysia terbaik batch 5 SMTU. Bagi jawatan Biro Kebajikan KUSP pula,saudari Nur Sakinah Razali telah menang tanpa bertanding apabila beliau telah dilantik secara sebulat suara oleh warga KUSP.

"Kerusi panas" kali ini adalah jawatan untuk Biro Perhubungan Dan Rekreasi yang menyaksikan saudara Eizaz Irfan bertanding sengit dengan saudara Abdul Hakim. Saudara Eizaz Irfan yang juga jurucakap rasmi MESSP dilihat mempunyai auranya yang tersendiri apabila berkempen.Namun, saudara Abdul Hakim juga tidak kurang hebatnya apabila beliau mempunyai kelab penyokong tersendiri yang dikenali sebagai "Wadihana Cybertroop". Disebabkan kedua-dua mereka dilihat mempunyai potensi yang luar biasa,maka AJK KUSP telah sepakat untuk melantik kedua-dua mereka bagi menyandang jawatan Biro Perhubungan dan Rekreasi 1 & 2 KUSP yang baru.

Sepanjang perjalanan majlis,cabutan bertuah diadakan sambil diselangi persembahan-persembahan daripada wakil setiap batch. Ucapan-ucapan daripada Presiden dan Naib Presiden MESSP serta wakil daripada senior tahun akhir telah mengubah suasana majlis.Suasana majlis dilihat sebak semasa ucapan wakil senior tahun akhir,abang Ahmad Fathi,abang Hafiz Razali dan kakak Atika Mokhtar yang memberi ucapan sayu dari hati ke hati,telah membuatkan ramai pelajar terharu dengan ucapan ikhlas mereka. "Tok buleh aku,takut tok jupo doh saing-saing ni" kata-kata sayu seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Ayeh selepas menyanyikan lagu Gemuruh yang dituju khas kepada abang-abang dan kakak-kakak senior.

Malam apresiasi 2013 ini ditutup dengan sesi bergambar dan jamuan istimewa oleh puteri-puteri MESSP dan KUSP. Kepada AJK baru KUSP 2013/14,selamat berkhidmat diucapkan dan kepada abang dan kakak yang bakal pulang,selamat bergraduasi diucapkan. Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Semoga Allah S.W.T merahmati dan memberkati usaha kita sepanjang kita berjuang di bumi Russia ini. Wallahua'lam.

"Komuniti kami kecil,ukhwah kami besar."

Disediakan oleh,
Muhammad Naufal Bin Azhar
Naib Pengerusi
Kelab UMNO Saint Petersburg sesi 2013/14.









Saturday, April 21, 2012

Pertandingan Futsal dan Netball Intervasity of Engineering



Assalamualaikum
Pada 3-4 Mac 2012 yang lalu telah diadakan Pertandingan Futsal dan Netball Intervasity of Engineering di St Petersburg anjuran Kelab UMNO St Petersburg (KUSP).

Di dalam pertandingan ini,kami telah menjemput rakan-rakan kami dari Moscow Aviation Institute (MAI) bagi mengambil bahagian dalam acara netball dan futsal,sekaligus memeriahkan lagi pertandingan yang julung kali diadakan ini.

Pertandingan dimulakan pada 3 Mac pada jam 7-9pm . Pertandingan dimulakan perlawanan futsal lelaki.Semua pasukan hadir dan tiba dengan cepat.Setiap perlawanan futsal dilangsungkan selama 10 minit.Seramai 6 pasukan mengambil bahagian , termasuklah pasukan dari MAI.Beginilah kedudukan pasukan selepas tamat perlawanan pada 3 Mac.


Pada malam itu ,selepas tamat perlawanan futsal,semua peserta telah bekumpul di asrama Korpus 1 bagi menikmati hidangan makanan yang disediakan.Walaupun keadaan agak sesak buat seketika , namun makanan yang disediakan mencukupi dan menyelerakan buat semua peserta yang jelas nampak keletihan.

Pertandingan  bersambung pada hari kedua , 4 Mac pagi dimana dimulakan dengan pertandingan netball perempuan. Dalam pertandingan ini hanya ada 2 pasukan saja iaitu wakil dari SMTU dan MAI.Walaupun jumlah bilangan peserta yang sedikit,namun mereka bermain dengan gembira dan bersemangat sekali.Selepas hampir 1jam setengah bermain,akhirnya team SMTU telah dinobatkan sebagai johan.   

Pasukan Netball MAI dan SMTU

Selepas tamat perlawanan netball,maka bersambung pula perlawanan futsal yang tertangguh semalamnya akibat kesuntukan masa.Nampaknya selepas tidur malam yang lena,semua orang kembali bermain dengan penuh bersemangat.Dan jelas,segala keputusan perlawanan pada hari itu luar dari dugaan.Kebanyakan pasukan yang on-form pada malam tadi,tewas kepada lawan masing-masing.

Pasukan MAI dan GG

Pertandingan futsal ini dijalankan secara round-robin.Pasukan yang lyak automatik ke perlawanan akhir adalah team Lemah.Team MAI dan team GG terpaksa berentap bagi memenuhi satu lagi slot ke final.
Pada perlawanan akhir,team Lemah dan team MAI berentap di final.Pada perlawanan akhir banyak dicemari dengan insiden tidak puas hati dengan keputusan pengadil.Namun begitu selepas pertarungan yang sengit,akhirnya team MAI dinobatkan sebagai johan.
Penyampaian hadiah telah disampaikan sejurus selepas tamat perlawanan.
Matlamat utama iaitu merapatkan silaturrahim antara para peserta,samada pelajar-pelajar SMTU mahupun bersama-sama pelajar MAI telah tercapai.Diharap pentandingan yang julung kalinya diadakan ini bakal menjadi satu pertandingan yang diadakan setiap tahun oleh KUSP selepas ini.
Sekian,terima kasih

Disediakan oleh,
Nasrul Azhim bin Norul Huda
Naib Presiden Kelab UMNO St Petersburg sesi 11/13






 Team Shoot Aje

 Team C

 Team Baek


 Team MAI


SMTU vs MAI