Saturday, June 8, 2013

Perlantikan AJK baru KUSP bagi sesi 2013/2014

Assalamualaikum.

Pada 2 Jun 2013 yang lalu telah diadakan malam apresiasi bagi meraikan senior-senior tahun akhir Saint Petersburg State Marine Technical University (SMTU) yang akan menamatkan pengajian pada bulan Julai. Pada kesempatan itu juga,majlis pembubaran dan perlantikan jawatankuasa  Kelab Umno Saint Petersburg (KUSP) dan persatuan Malaysian Engineering Students of Saint Petersburg (MESSP) juga turut diadakan.


Pengerusi KUSP sesi 2011/2013,Mohd Muzammel Zainal telah mengumumkan perletakkan jawatannya serta mengumumkan pembubaran AJK KUSP sesi 2011/13. Beliau memohon maaf atas segala kekurangan AJK KUSP 2011/2013 dan mengingatkan semua agar terus memberi sokongan kepada KUSP. Sementara itu Pengerusi KUSP baru yang dilantik,saudara Nasrul Azhim bin Norul Huda memulakan penggalnya dengan menerima tepukan gemuruh apabila beliau diumumkan sebagai Pengerusi KUSP yang baru.
Berbekalkan "track record" beliau yang boleh dikatakan segar,Nasrul Azhim telah berjanji untuk memacu KUSP ke arah yang lebih progresif dan innovatif. Sementara itu,jawatan Timbalan Pengerusi KUSP telah dimenangi oleh saudara Shafik Azhar manakala Naib Pengerusi baru KUSP yang dilantik adalah saudara Naufal Azhar. Walaupun nama kedua-dua mereka hampir sama (nama bapa mereka ialah Azhar) namun,kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang pertalian darah. 


Sementara itu,saudari Nadierah Mokhtar yang berpengalaman menjadi wakil lokaliti persatuan AZAM Russia Saint Petersburg pada malam apresiasi kali ini telah dipilih untuk menyandang jawatan Setiausaha KUSP. Jawatan Bendahari KUSP pula disandang oleh saudari Siti Aisyah Ismail yang juga disebut-sebut sebagai calon pelajar Malaysia terbaik batch 5 SMTU. Bagi jawatan Biro Kebajikan KUSP pula,saudari Nur Sakinah Razali telah menang tanpa bertanding apabila beliau telah dilantik secara sebulat suara oleh warga KUSP.

"Kerusi panas" kali ini adalah jawatan untuk Biro Perhubungan Dan Rekreasi yang menyaksikan saudara Eizaz Irfan bertanding sengit dengan saudara Abdul Hakim. Saudara Eizaz Irfan yang juga jurucakap rasmi MESSP dilihat mempunyai auranya yang tersendiri apabila berkempen.Namun, saudara Abdul Hakim juga tidak kurang hebatnya apabila beliau mempunyai kelab penyokong tersendiri yang dikenali sebagai "Wadihana Cybertroop". Disebabkan kedua-dua mereka dilihat mempunyai potensi yang luar biasa,maka AJK KUSP telah sepakat untuk melantik kedua-dua mereka bagi menyandang jawatan Biro Perhubungan dan Rekreasi 1 & 2 KUSP yang baru.

Sepanjang perjalanan majlis,cabutan bertuah diadakan sambil diselangi persembahan-persembahan daripada wakil setiap batch. Ucapan-ucapan daripada Presiden dan Naib Presiden MESSP serta wakil daripada senior tahun akhir telah mengubah suasana majlis.Suasana majlis dilihat sebak semasa ucapan wakil senior tahun akhir,abang Ahmad Fathi,abang Hafiz Razali dan kakak Atika Mokhtar yang memberi ucapan sayu dari hati ke hati,telah membuatkan ramai pelajar terharu dengan ucapan ikhlas mereka. "Tok buleh aku,takut tok jupo doh saing-saing ni" kata-kata sayu seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Ayeh selepas menyanyikan lagu Gemuruh yang dituju khas kepada abang-abang dan kakak-kakak senior.

Malam apresiasi 2013 ini ditutup dengan sesi bergambar dan jamuan istimewa oleh puteri-puteri MESSP dan KUSP. Kepada AJK baru KUSP 2013/14,selamat berkhidmat diucapkan dan kepada abang dan kakak yang bakal pulang,selamat bergraduasi diucapkan. Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Semoga Allah S.W.T merahmati dan memberkati usaha kita sepanjang kita berjuang di bumi Russia ini. Wallahua'lam.

"Komuniti kami kecil,ukhwah kami besar."

Disediakan oleh,
Muhammad Naufal Bin Azhar
Naib Pengerusi
Kelab UMNO Saint Petersburg sesi 2013/14.









1 comment: