Wednesday, October 16, 2013

Global Leadership Outreach Saint Petersburg 2013

Assalamualaikum.

Pada 11-13 Oktober yang lalu telah diadakan program Global Leadership Outreach (GLO) di Royal Radisson Hotel,Saint Petersburg,Russia. Program selama 3 hari 2 malam yang dianjurkan dengan kerjasama daripada pihak kedutaan besar Malaysia di Russia,pejabat MARA Russia,Center for Leadership Training (AKEPT),Talent Corporation Malaysian Berhad (TalentCorp),dan Malaysian Engineering Student of Saint Petersburg (MESSP) ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan memenuhi potensi pemimpin-pemimpin muda yang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara. 



Antara ahli panel jemputan untuk program ini ialah YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah binti Mahmood yang juga merupakan pengasas Malaysian Medical Relief Society (MERCY) serta merupakan CEO Transform Advisory Sdn. Bhd. dan juga Senior KRIS Fellow Khazanah Nasional Bhd, YBhg. Dr. Zainal Abidin bin Sanusi yang jugaTimbalan Pengarah AKEPT, Puan Sherene Azura binti Azli merangkap Pengurus Besar TalentCorp, YBhg. Prof. Madya Abdul Razak bin Ahmad yang juga penasihat department of higher education,dan YBrs. Dr. Siti Aishah binti Jamaludin yang juga senior eksekutif TalentCorp. Seramai 50 orang pelajar Malaysia yang cemerlang dan berpotensi telah terpilih untuk menyertai program ini,di mana 47 daripadanya terdiri daripada pelajar-pelajar jurusan kejuruteraan maritim di Saint Petersburg State Marine Technical University (SMTU) dan 3 org pelajar jurusan perubatan dari Nizhni Novgorad.


Slot pertama pada 11 Oktober ialah slot yang bertajuk "Serving the Nation-Experience Sharing" oleh Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.Beliau yang lebih mesra dipanggil Dr.Jemilah, telah memberi perkongsian tentang realiti masyarakat di seluruh dunia dan pentingnya pengorbanan dan keikhlasan apabila berkhidmat untuk negara. "Be the change you want to see", kata-kata hikmah oleh Dr.Jemilah yang memberi inspirasi dan semangat kepada peserta-peserta untuk mengubah pemikiran dan mengasah bakat masing-masing kepada tahap yang sepenuhnya.Kebanyakan peserta terharu apabila mendengar dan menghayati kisah-kisah dan pengalaman yang dikongsikan oleh Dr.Jemilah.

Slot kedua pada pagi 12 Oktober bertajuk "State of the Future-Managing Global Trends,Conflicts and Challenge" pula disampaikan oleh Prof.Madya Abdul Razak Ahmad. Beliau memberi penerangan tentang pentingnya untuk berfikiran global dan mencuba idea-idea baru. Walaubagaimanapun,beliau juga menasihati peserta-peserta supaya berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif ketika di luar negara. "The best investment to be made by you right now is to travel and gain knowledge and experiences from it." jawab beliau apabila diajukan soalan tentang pelaburan terbaik yang boleh dibuat ketika di luar negara.



Slot ketiga yang bertajuk "Malaysian Transformation Agenda-The Critical Roles of University's Student as Young Leaders" disampaikan oleh Dr. Zainal Abidin Sanusi. Beliau memberi penerangan tentang sistem dan plan transformasi kerajaan (GDP) dan plan transformasi ekonomi (ETP) untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang struktur-struktur ekonomi negara. Beliau juga menggalakkan peserta-peserta untuk berani menampilkan diri seterusnya memenuhi potensi diri sebagai bakal pemimpin-pemimpin di masa hadapan. "Immerse,articulate,exchange" antara nasihat bernas beliau kepada peserta-peserta.



Slot seterusnya disampaikan oleh Puan Sherene Azura binti Azli yang bertajuk "Contributing Towards Nation Building-Matching Industrial/Business Expectations and Graduates Competencies". Beliau memberi penerangan penting tentang struktur peluang pekerjaan di Malaysia dan peranan penting TalentCorp dalam membantu lepasan-lepasan universiti untuk bekerja dan menyumbang kepada negara. "Effectiveness is often referred to as doing the right thing, while efficiency is doing things right" antara kata-kata beliau yang membuka pemikiran peserta-peserta untuk sentiasa menjaga integriti dan etika diri masing-masing.





Sesi pembentangan ‘Policy Proposal’ merupakan sesi kemuncak program tersebut. Para peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap kumpulan harus membentangkan usul masing-masing yang mana setiap kumpulan mewakili kementerian/organisasi di Malaysia seperti EPU,MARA, MOSTI,SUHAKAM dan MOHE. Polisi baru yang diusulkan perlulah sesuatu yang segar dan memberi impak transformasi kepada negara. Antara kumpulan yang menyerlah adalah kumpulan Green i-tech yang mewakili MOSTI,di mana polisi dan idea yang cuba diketengahkan dipuji oleh semua ahli panel. Idea untuk menukar sistem "Research And Development" (R&D) kepada "Research,Development and Commercial" (RD&C) mempersonakan semua peserta dan ahli panel. "Kami dah buat yang terbaik,apa lagi mereka mahu?" kata ketua kumpulan Green i-tech yang hanya mahu dikenali sebagai Coach. Pembentangan polisi pada 13 Oktober diakhiri dengan kumpulan Fetih yang mewakili EPU membuat penilaian tentang semua polisi kumpulan-kumpulan lain. Walaupun ada polisi yang ditolak,namun peserta tidak cepat melenting dan bersikap professional dalam menerima keputusan. "Kita masih dalam proses belajar,tentulah kita masih buat silap dalam pembentangan polisi." kata peserta terbaik program kali ini yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimi. 










Sebelum program berakhir,satu sesi tidak formal bersama Tan Sri Dr. Jemilah dan Puan Sherene Azura yang memberi slot tambahan kepada peserta pada hari terakhir tentang cara-cara betul untuk pembentangkan usul,"do's and don't" dalam pembentangan telah diadakan.Mereka menasihati para peserta supaya mengukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam aktiviti harian supaya para peserta tidak kekok ketika bertutur dalam bahasa Inggeris.



Program ditutup dengan sesi bergambar antara peserta dan ahli-ahli panel. Ribuan terima kasih kepada pihak MARA, AKEPT, TalentCorp,MOHE,dan MESSP kerana menganjurkan program seperti ini.Diharapkan program seperti ini akan terus diadakan lagi di masa hadapan. Semoga Allah memberkati dan membalas semua usaha-usaha pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Wallahua'lam.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat tinggal kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.

"Be the change you want to see."


Disediakan oleh,
Muhammad Naufal Bin Azhar
Naib Pengerusi
Kelab UMNO Saint Petersburg sesi 2013/14.

No comments:

Post a Comment